Aku takut
apabila merasakan hanya diriku sahaja yang bekerja keras untuk agama, lalu memandang orang di sekelilingku seperti tidak melakukan apa-apa untuk agama.
Aku takut
apabila hadirnya perasaan ingin orang melihat aku bekerja, sehingga mana mereka melihat dan memujiku, baru aku bekerja bersungguh-sungguh.
Aku takut
jika aku hanya bekerja apabila disuruh dan diarah, tanpa aku memahami tujuan tugasku yang sebenar.
Aku takut
setiap pengorbanan yang aku lakukan perlu diceritakan untuk membuktikan yang aku sudah berkorban.
Aku takut
aku terlalu banyak mempersoalkan urusan hidup orang lain, sedangkan diriku sendiri masih kurang amal dan terkial-terkial dalam mengerjakannya.
Aku takut
lidah selalu mencuri tumpuan kerana banyaknya aku berkata-kata tetapi sangat sedikit perlakuanku terhadap apa yang aku ucapkan.
Aku takut
hanya keletihan dan kepenatan menjadi titik akhir perjalananku, tanpa terisi dengan bekalan perjalanan untuk menghadap yang Esa.
Aku takut
menjadi manusia paling rugi di dunia ini, walhal siang malam bekerja keras untuk agama tetapi sebenarnya diriku tertipu dengan permainan dunia.
Aku takut
aku tidak dapat mencorak pengakhiranku seperti yang aku idamkan, aku ingin kembali menghadapNya dalam keadaan diriku bersedia dan tenang di sana.
Aku takut
menghadap Allah dalam keadaan dihina, lalu segala amalku tidak diterima kerana kegagalanku menjernihkan niat hanyalah kerana Allah. s.w.t
No comments:
Post a Comment